Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Terengganu menjadi negeri contoh dalam usaha menambah baik perkhidmatan Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata inisiatif-inisiatif berbentuk inovasi telah diperkenalkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah.

Ia termasuk e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET), E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) dan pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu.

"Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes di Mahkamah Syariah, ia bergantung kepada pelbagai faktor sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, pihak Peguam Syarie mahupun pihak-pihak dalam kes itu sendiri.

"Usaha-usaha proaktif telah dilakukan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah melalui penguatkuasaan Arahan Amalan, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah," ujar beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur Mahkamah Syariah bagi menaiktaraf perkhidmatan, serta integriti institusi tersebut.

Zulkifli pada masa sama memaklumkan, kerajaan sedang meneliti semula kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) selepas terhenti akibat pertukaran kerajaan pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).