Kerinduan empat beradik anak pasangan yang ditahan di Sweden, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem terubat apabila mereka dapat bercakap menerusi panggilan video dengan ibu mereka, Shalwati Norshal yang dibebaskan semalam.

Keempat-empat anak pasangan tersebut tidak dapat menahan sebak selepas dapat berbual dengan ibu mereka yang baru dibebaskan dari penjara di Sweden.

Anak pertama pasangan itu, Aisyah Azizul Raheem, 15 tahun, sempat bergurau dengan ibunya dalam loghat Kelantan dan turut mengucapkan syukur selepas ibunya dibebaskan semalam.

“Saya sangat gembira setelah tidak dapat berbual dengannya lebih setahun. Saya sangat gembira mendengar suara dan melihat wajahnya.” kata Aisyah Azizul Raheem.

Sambil melahirkan kegembiraan tidak terhingga kerana dapat menatap wajah ibunya melalui panggilan video itu, beliau nyata tidak sabar untuk bertemu ibunya.

Beliau menjelaskan ibunya kelihatan kurus sedikit dan nampak lebih mesra.

Katanya kedatangan sambutan Aidil Adha minggu depan akan lebih bermakna kerana kesemua keluarganya dapat berhimpun dan menyambut bersama di Kelantan.

Aisyah berkata demikian ketika ditemui di kediaman ibu saudaranya, Sharlina Norshal di Padang Kala Peringat di sini, malam tadi.

Perbualan telefon berdurasi 10 minit itu turut disaksikan adik beradiknya, Ammar, 13, Adam, 12 dan Arif, 8 serta Sharlina, 43.

Shalwati menyambut panggilan itu dalam keadaan gembira, walaupun sebak dia mengucapkan syukur atas bantuan semua pihak yang terlibat bagi membebaskannya.

“Ucapan tidak terhingga saya kepada semua atas segala sokongan dari semua,” katanya ringkas.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri, Menteri Luar, Timbalan Menteri Luar, Kedutaan Malaysia dan semua yang terlibat dalam memberikan sokongan dan berusaha ke arah pembebasannya.

Shalwati dibebaskan dari mahkamah Sweden di daerah Solna pada jam 3.35 petang waktu Malaysia dan 9.35 pagi waktu Sweden.

Sementara itu, Sharlina berkata, tiada perkataan yang dapat diucapkan apabila dapat berbual dengan kakaknya itu.

“Sekurang-kurangnya anak-anak ini, ibu dan saya dapat melepaskan rindu yang selama ni kempunan semua tapi yang kecik ni malu, dia tak cakap tadi, yang lain ok.” tambah Sharlina.

Katanya setelah lebih setahun tidak berjumpa, inilah perbualan pertama mereka dan dapat melihat wajah ibu mereka selepas dia dibebaskan dari penjara semalam.

Katanya keluarganya akan menyambut Shalwati di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada petang Rabu nanti.