Emergency Management Australia (EMA), agensi yang dipertanggungjawab untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan antarabangsa, sedang mengkaji dan mempertimbangkan keperluan bantuan yang ditawarkan Malaysia kepada negara itu yang kini dilanda krisis kebakaran hutan.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri pada Isnin, perkara itu disampaikan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Michael Growder kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pertemuan mereka terdahulu yang membincangkan tawaran Malaysia untuk membantu Australia.

"Semasa sesi pagi Isnin, Australia telah menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas tawaran menghantar misi bagi membantu Australia dalam usaha negara itu untuk mengatasi krisis kebakaran hutan yang sedang dialami," menurut kenyataan itu.

Pada 8 Jan lepas, kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk menawarkan bantuan dalam bentuk penghantaran 65 anggota penyelamat ke Australia.

Ia terdiri daripada beberapa agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di mana misi bantuan itu akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam pertemuan semalam, Dr Wan Azizah turut memaklumkan kepada Australia bahawa Malaysia sedia menawarkan sebuah pesawat pemadam kebakaran jenis Bombardier CL-415, sebuah aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu, pertemuan itu turut membincangkan berkenaan hubungan dua hala yang amat erat antara Malaysia dan Australia.

Kedua-dua negara adalah rakan perkongsian strategik dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang dilihat semakin berkembang melibatkan sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

-- BERNAMA