Warga Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) hari ini menerima khabar gembira apabila kerajaan bersetuju menaikkan elaun pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar elaun dinaikkan melibatkan pegawai dari RM7.80 kepada RM9 sejam manakala RM6 kepada RM8 untuk anggota.

Selain kenaikan elaun, Ahmad Zahid yang jua Menteri Dalam Negeri, mengumumkan peruntukan bajet sebanyak RM10 juta bagi pembelian uniform sebagai tambahan kepada peruntukan RM5 juta yang diumumkan untuk tahun 2017.

"Untuk makluman kenaikan elaun itu adalah khusus untuk memberikan motivasi dan semangat kesukarelawanan yang tidak putus dalam kalangan anggota dan pegawai APM.

“Dengan ini, saya turut meminta kepimpinan tertinggi di bawah teraju Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberi lebih banyak perjawatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program YAB Timbalan Perdana Menteri bersama warga APM Bagan Datuk di Dewan Gemilang, SM Sains Bagan Datuk di sini, hari ini.

Ahmad Zahid juga dalam pada itu mengingatkan para anggota dan pegawai mengenai tahap kepedulian dan keprihatinan kerajaan yang akan memberikan kenaikan elaun itu kepada semua warga APM di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata ,komitmen tersebut merupakan simbolik kerajaan yang tidak pernah lupa untuk melunaskan tanggungjawab khusus kepada anggota sukarelawan yang sedia berkhidmat untuk membantu negara dalam masa memerlukan dan bukannya kepentingan politik semata-mata.

“Tuan-tuan, tidak pernah minta tetapi kami tak perlu diminta kerana sekiranya perkara itu munasabah, untuk diberikan sebagai penghargaan kepada semangat kesukarelawanan...tak perlu diminta kerajaan akan luluskan," katanya.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Ahmad Zahid mengakui bahawa terdapat beberapa kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sepanjang pentadbiran kerajaan namun ianya diperbaiki dari semasa ke semasa.