Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Menurut Presidennya, Adnan Mat, pengumuman itu memberi suntikan semangat kepada penjawat awam di barisan hadapan ketika menghadapi pandemik COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"CUEPACS merakamkan terima kasih atas kenaikan elaun khas COVID-19 kepada doktor dan petugas kesihatan daripada RM400 kepada RM600, selain elaun RM200 kepada petugas yang lain seperti anggota keselamatan.

“Ia sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada petugas yang bekerja demi rakyat.

"CUEPACS juga sangat berterima kasih dengan pemberian one-off RM500 kepada penjawat awam. Ia sedikit sebanyak membantu penjawat awam terutama golongan B40,” katanya di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Adnan berkata, CUEPACS mencadangkan kepada kerajaan agar beberapa agensi yang turut terlibat di barisan hadapan menangani COVID-19 termasuk bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi manfaat sama.

Katanya, ia sejajar dengan harapan kerajaan agar tiada pihak yang terpinggir atau tertinggal dalam pakej rangsangan itu.

Sementara itu, CUEPACS menyeru agar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyahut pengumuman Perdana Menteri dengan memberi kemudahan pengecualian potongan pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

"Merujuk kepada pengumuman sebelum ini berhubung bayaran balik pinjaman oleh Bank Negara Malaysia, CUEPACS menyeru agar LPPSA memberi kemudahan pengecualian potongan pinjaman perumahan kepada penjawat awam sehingga enam bulan bermula April 2020.

“Perkara ini telah dimohon oleh CUEPACS tetapi tiada dalam pengumuman ini," ujar Adnan.