Duta Besar Senegal ke Malaysia, Fatou-Danielle Diagne dilaporkan meninggal dunia di Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, Diagne, 66, mengalami serangan jantung dan dihantar ke sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara sebelum disahkan meninggal dunia jam 3 pagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili kerajaan Malaysia dan rakyat turut memuat naik ucapan takziah atas pemergian Diagne.

"Sepanjang bertugas di negara ini, Fatou-Danielle Diagne memainkan peranan besar dalam hubungan Malaysia-Senegal dan segala sumbangan beliau akan sentiasa dikenang.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga beliau serta kerajaan dan rakyat Senegal.

"Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda semua. Semoga Allah S.W.T memberkati Fatou-Danielle Diagne dan menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi muat naik status di akaun media sosial.

Sumber Facebook ts.muhyiddin

Sementara itu, rakan rapat kepada Allahyarham, Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin mengakui amat terkesan dengan pemergian Diagne.

"Apa-apa mengenai Senegal dan Malaysia memang kami berhubung. Setiap kali saya balik ke Malaysia, setiap kali beliau balik ke Senegal, kami akan keluar bersama, berbincang berkenaan masalah negara. Macam mana kita nak eratkan lagi hubungan dua negara. Jadi memang akrab.

"Beliau sangat merendah diri seperti orang kebiasaan walaupun beliau baik dengan Presiden dan First Lady di sini. Beliau ajak saya ke rumah makan makanan Senegal.

"Beliau kata duduk di Malaysia, hatinya tenang, beliau dapat beribadah," kata Shazelina ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain di Malaysia, Diagne juga pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Senegal di Amerika Syarikat, Menteri Penasihat Urus Tadbir dan Persaingan Senegal selain sebagai Presiden Bank Pembangunan Afrika di Tunisia.