Dua wanita bersaudara maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, Norhamizah Ismail, 24, dari Desa Tanjung, Muadzam Shah dan kakak iparnya, Lizawati Mohamed Taib, 34, dari Felda Keratong 4, di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan dada.

"Siasatan awal mendapati, kereta dinaiki mangsa yang dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 61 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan pada kaki.

Katanya, mayat kedua-dua wanita terbabit dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.