Dua pekerja warga Bangladesh maut selepas ditimbus tanah ketkka melakukan kerja-kerja penanaman paip di sebuah projek perumahan di Mentakab di sini hari ini.

Kejadian jam 4.15 petang itu kedua-dua mangsa lelaki yang dikenali sebagai Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, maut di tempat kejadian

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ketika kejadian mangsa berada di dalam lubang sedalam enam meter bagi menanam paip najis.

"Ketika itu terdapat dua buah jentera pengorek di atas melakukan kerja mengorek tanah dan semasa kerja-kerja dijalankan, tanah telah runtuh ke atas dua mangsa berkenaan," katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, kedua-dua mangsa tidak dapat diselamatkan akibat runtuhan tanah yang banyak.

Menurutnya, pihak bomba telah berjaya mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.45 petang manakala mayat kedua dikeluarkan pada pukul 5 petang.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.