Dua pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas terkena renjatan elektrik di Jalan Bunga Raya, Leisure Farm Resort, Gelang Patah, di sini, malam tadi.

Kedua-dua mereka iaitu Mohd Faizul Mohd Fauzi, 37, dan Shahlan Mohamed, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Anuar Mohd Amdzah berkata kejadian pada kira-kira 8 malam itu berlaku ketika kedua-dua mereka sedang melakukan kerja-kerja penggantian kabel bawah tanah bagi projek pelebaran jalan raya.

"Sejurus menerima penggilan, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat dua mangsa berada di dalam takungan air dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemasangan kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota bomba kemudian bertindak menaikkan kedua-dua mangsa ke tebing takungan selepas pihak TNB memotong aliran elektrik.

Katanya, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi terbabit tamat pada kira-kira pukul 10.05 malam, katanya.

-- BERNAMA