Dua lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes dadah ditahan selepas merempuh kereta peronda polis (MPV) dan kenderaan orang awam ketika cuba melarikan diri di Jalan Gombak, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, kedua-dua lelaki berusia antara 33 dan 37 tahun tersebut yang menaiki kereta jenis Proton Persona diarahkan untuk menghentikan kenderaan apabila didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota MPV tersebut telah mengarahkan suspek untuk berhenti tetapi suspek terus menghimpit dan melanggar MPV itu di bahagian hadapan sebelum polis bertindak mengejar kereta mereka.

"Suspek kemudian melanggar penunggang motosikal dan lima kenderaan lain. Suspek berpatah balik melawan arus masuk ke Kampung Lee Kong Cheng dan bertindak membrek serta mengundurkan kenderaan dan melanggar MPV berkenaan.

"Apabila sampai di hadapan sebuah rumah, suspek memasuki jalan mati dan cuba melanggar anggota polis yang turun untuk menahan suspek, sebelum mereka bertindak melanggar MPV polis itu berulang kali," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mazlan berkata pemandu MPV tersebut kemudian turun dari kenderaan dan melepaskan tembakan amaran ke udara dan juga di bahagian tayar kenderaan suspek.

Susulan itu, kedua-dua lelaki berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam, katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA