Dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, dipercayai selepas meminum sejenis kopi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah berkata dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam keadaan stabil.

"Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.

"Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu atau tidak.

Dr Wan Mansor berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami simptom sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini berkata pihaknya mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berhubung beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis kopi.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian.

"Masyarakat dinasihat supaya menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman serta segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami apa-apa gejala penyakit," katanya.

-- BERNAMA