Dua didakwa ingkar perundangan komunikasi dan multimedia

Dua didakwa ingkar perundangan komunikasi dan multimedia
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas Khoo Teng Chooi atas tuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. - Gambar hiasan
TAIPING: Dua orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Taiping baru-baru ini atas pelbagai kesalahan yang dilakukan membabitkan pelanggaran terhadap perundangan komunikasi dan multimedia negara.

Dalam kes pertama, tertuduh, Norimran Kusairie Ibrahim, 39 tahun, didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan menghantar komunikasi yang bersifat mengancam dengan tujuan untuk mengugut seorang wanita yang bekerja sebagai operator kilang.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 13 Mei 2016 yang lalu di Kuala Kurau, Perak.
Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan memohon agar dikenakan hukuman ringan ke atas beliau.

Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM18,000 dan sekiranya bayaran itu gagal dilangsaikan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama enam bulan.

Sementara itu, dalam kes kedua pula, seorang nelayan turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Khoo Teng Chooi, 56, didakwa di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan sekiranya gagal bayar boleh dikenakan dua bulan penjara.