Terdapat ratusan pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di dalam dua bot di perairan Thailand yang dipercayai sedang menunggu masa untuk masuk ke Malaysia melalui perairan Langkawi dan Pulau Pinang secara haram.

Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali, yang membuat dakwan itu turut mendakwa kemasukan mereka diuruskan sindiket penyeludupan manusia yang didalangi empat ejen yang disyaki berada di beberapa tempat di negeri ini.

“Akan ada lagi kemasukan PATI etnik Rohingya ke negara ini melalui perairan Langkawi dan Pulau Pinang dalam tempoh terdekat ini.

"Saya mendapat maklumat bahawa terdapat dua bot lagi kini berada di perairan Thailand dan hanya menunggu masa untuk masuk ke Malaysia.

“Kami etnik Rohingya di sini pun sedang mendapatkan maklumat... kita akan beri laporan kepada kerajaan (pihak berkuasa) dengan segera,” katanya kepada Astro AWANI.

Dakwanya, sindiket terbabit turut bertanggungjawab membawa masuk sekumpulan 202 etnik Rohingya termasuk kanak-kanak dalam sebuah bot hanyut yang dikesan di kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai Langkawi jam 8.45 pagi Ahad.

Mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Yussof berkata, dalang sindiket penyeludupan etnik Rohingya itu perlu dijejaki segara.
“Saya difahamkan ejen sindiket ini sebelum ini bergerak di Alor Setar, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Mereka mengambil sejumah wang daripada etnik Rohingya sebelum dibenarkan menaiki bot untuk datang ke Malaysia,” dakwanya.

Beliau mendakwa, pihaknya membantah tindakan sindiket itu kerana banyak kes membabitkan kematian etnik Rohingya di laut berlaku disebabkan oleh tindakan tidak bertanggungjawab mereka.

 Kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai Langkawi pada Ahad. Gambar Astro AWANI.