Seorang wanita dan anak lelakinya direman empat hari sehingga 24 Julai bagi membantu siasatan kes dera melibatkan seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) berusia 14 tahun.

Permohonan reman ke atas suspek berusia 40 dan 15 tahun itu, dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka di Kampung Gial Tengah, Mata Ayer, Perlis.

Mangsa yang juga dipercayai anak kandung suspek kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

BACA: Dipukul dan disimbah air panas, remaja OKU dipercayai didera ibu, abang kandung

Polis masih menunggu laporan kesihatan mangsa bagi mengesahkan perilaku berunsur dera yang dikaitkan terhadapnya.

Mangsa diselamatkan selepas video dia dipukul dengan buluh, disimbah dengan air panas termasuk anggota badannya dikepit dengan playar, tular di laman media sosial.

Siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.