Tindakan berani dua beradik cuba memberi suapan sebanyak RM4,500 kepada pegawai polis ketika berada di Balai Melaka Tengah, Julai tahun lalu membawa padah apabila kedua-dua mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Wong Chee Wei, 42 tahun, dan kakaknya Wong Choy Shun, 43 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi secara rasuah wang tunai RM4,500 kepada Inspektor S. S Thyagaraj.

Ia sebagai dorongan supaya tidak melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu mengambil tindakan atas kesalahan memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dilakukan di Bilik Triaj, Balai Polis Melaka Tengah, Jalan Banda Kaba, Melaka sekitar jam 4 petang, 23 Julai, 2019 lalu.

Justeru, dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda berjumlah tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh selain memohon agar pasport perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kedua-dua mereka yang diwakili peguam Vinson Tay bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan mengambil kira Chee Wei hanya bekerja sendiri manakala kakaknya bekerja sebagai sebagai pentadbir di syarikat swasta, selain menanggung ibu bapa yang sudah uzur.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Nasir pada penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Mereka juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.