Dua lelaki dikesan menggunakan platform media sosial YouTube untuk mengaut keuntungan lumayan dengan mempelajari cara-cara memproses dadah jenis ekstasi.

Dadah itu kemudian diproses dalam bentuk pil sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Namun, tindakan kedua-dua lelaki berusia 31 dan 41 tahun itu tidak bertahan lama apabila mereka ditahan pihak polis.

Turut dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Muar, Johor pada Jumaat lalu itu ialah dadah jenis pil ekstasi dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Pelbagai dadah, wang tunai dan kelengkapan memroses dadah dalam serbuan di Muar, Johor di sini.

Pasukan polis dari Kontinjen Johor itu turut merampas pelbagai jenis dadah lain seperti ketamine, ganja, syabu selain wang tunai RM4,000 dan peralatan memproses dadah termasuk cecair pewarna.

“Kita sedang menjalankan siasatan kerana perkara ini baru lagi dan ingin tahu jaringan mereka mengedar dadah.

“Mereka bukan ahli kimia, mereka belajar melalui YouTube,” katanya Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Johor Bahru, Johor di sini pada Ahad.

Tiga buah kenderaan masing-masing Perodua Myvi, Proton Perdana dan Isuzu Trooper.

Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek itu direman sehingga 26 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.