Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan agar penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat sehingga berakhirnya pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dr Zulkifli dalam satu kenyataan menjelaskan cadangan itu adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April 2020 susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini.

"Melihat kepada perkara ini, saya dengan rendah hati mencadangkan agar penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah perlu untuk dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP.

"Ini adalah selaras dengan Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 20 Mac 2020 yang telah bersetuju untuk mengambil ketetapan seperti berikut:

"Penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah sebelum ini, adalah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020 atau mengikut apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia dari masa ke semasa.

"Bagi perkara ini saya menyerahkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam di setiap Negeri," ujarnya.



Dr Zulkifli turut berharap agar semua umat Islam mematuhi arahan ini dengan menunaikan solat Zohor pada hari Jumaat dan solat fardhu di rumah atau di tempat masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

BACA: COVID-19: Semua aktiviti surau, masjid ditangguhkan - Dr Zulkifli