Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan ke atas Doan Thi Huong selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin ketika menjatuhkan hukuman tersebut ke atas wanita warga Vietnam berkenaan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 15 Feb 2017.

Dalam penghakimannya, beliau berkata tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bernasib baik kerana pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif yang hanya membawa hukuman penjara 10 tahun berbanding pertuduhan asal iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

"Saya memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan kamu membela diri. Jika perbicaraan berlangsung, kamu mungkin boleh dilepaskan dan dibebaskan pada peringkat membela diri jika kamu dapat menimbulkan keraguan munasabah.

"Sejujurnya saya rasa kamu harus berterima kasih kepada Peguam negara dan Pendakwa Raya yang menawarkan pertuduhan alternatif," katanya.

Doan, 30, yang berdiri di kandang tertuduh mengucapkan terima kasih kepada hakim, peguam dan semua yang terlibat dalam bahasa Vietnam yang diterjemahkan oleh jurubahasa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, peguam, Kedutaan Vietnam dan pihak media sepanjang kes ini berjalan," katanya.

Hakim kemudian berkata: "Kamu akan pulang ke pangkuan keluarga kamu tidak lama lagi."




Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh di negara ini selain tertuduh juga kesal dengan perbuatannya itu.

"Tertuduh meringkuk dalam penjara sejak ditahan pada 15 Feb 2017. Anak guam saya juga tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada hari kejadian itu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu yang berlaku di tempat awam iaitu di klia2.

"Saya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini," katanya.

Mengikut pertuduhan, Doan bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sepatutnya hari ini Doan membela diri atas pertuduhan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif kepadanya.



Muhammad Iskandar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan representasi kedua supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji pertuduhan membunuh yang dihadapi Doan.

'Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh," katanya.

Hisyam ketika ditanya bila anak guamnya akan dibebaskan berkata Doan yang ditahan di Penjara Kajang dijangka tamat menjalani hukuman penjara itu pada 5 Mei ini.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 26, warga Indonesia daripada pertuduhan membunuh Kim Chol dan selepas Siti Aisyah dibebaskan, Doan melalui peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan bunuh itu tetapi ia ditolak.

Pihak peguam kemudian mengemukakan representasi kedua.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Sebelum ini mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di tempat, masa dan tarikh sama menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan peringkat pendakwaan kes bunuh lelaki Korea Utara itu bermula pada 2 Okt 2017, dengan 34 saksi dipanggil memberi keterangan.

Doan Thi Huong dibawa keluar oleh anggota polis meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, 1 April, 2019. (Foto AP)

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa dengan kawalan keselamatan yang ketat sepanjang kes berlangsung dan kedua-dua tertuduh dikawal rapi serta memakai baju kalis peluru semasa dibawa ke dalam bilik bicara mahkamah.

Media juga tidak dibenarkan membawa masuk sebarang alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik bicara dan hanya seorang daripada setiap agensi berita dibenarkan masuk.

Semasa kes pendakwaan, Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S. Raja ketika memberi keterangan berkata insiden kematian Kim Chol disebabkan agen saraf VX adalah insiden kedua di dunia dan pertama di negara ini.

Pegawai penyiasat kes ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz dalam keterangannya berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lapangan terbang itu, Doan didapati menyapu sesuatu di muka Kim Chol.

Bagaimanapun Hisyam ketika membacakan percakapan beramaran anak guamnya, berkata Doan tidak tahu cecair berminyak yang disapukannya pada muka dan mata lelaki itu adalah racun.

Katanya kedua-dua tangan Doan disapukan sejenis cecair berminyak oleh seorang lelaki bernama Ri Ji Hyon atau dikenali sebagai Mr Y untuk membuat lakonan 'prank' (gurauan).

Mr Y ialah seorang daripada empat lelaki yang masih bebas dalam kes bunuh Kim Chol.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, berkata si mati meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut dan mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan sebab kematian si mati yang dinyatakan oleh pakar patalogi sebagai "acute VX (Nerve Agent) poisoning".

-- BERNAMA