Kementerian Sumber Manusia sedang menyemak semula peruntukan undang-undang pekerjaan khusus berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata cadangan pindaan kepada Akta 265 (Akta Kerja 1955) itu ia merangkumi diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketidakupayaan, status perkahwinan, bahasa, kehamilan dan bahasa.
Selain itu, katanya diskriminasi yang melibatkan terma dan syarat pekerjaan dalam suatu kontrak perkhidmatan turut dilarang.
“Namun begitu, Kementerian tiada cadangan untuk memperuntukkan perlindungan kepada pemohon kerja untuk diliputi dalam pindaan Akta Kerja 1955.
“Dalam usaha memastikan keharmonian masyarakat industri, kementerian mengesa agar tiada amalan diskriminasi di tempat kerja dalam apa jua bentuk termasuk dari permulaan pemilihan calon pekerja, pemberian tugas, kenaikan gaji, pemberian bonus dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang bertanyakan berkenaan usaha kerajaan untuk melindungi pemohon kerja daripada segala bentuk diskriminasi.
Mahfuz pada masa sama turut memaklumkan bahawa tiada sebarang undang-undang memperuntukkan majikan untuk tidak mengambil wanita hamil bekerja.
Sementara itu, dalam soalan berlainan, Mahfuz menjelaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa mencampuri urusan perniagaan sesebuah syarikat termasuk sebuah syarikat-syarikat media yang menghentikan pekerjanya.
“Kami tidak boleh campur tangan terutama soal pengambilan pekerja yang telah dihentikan dan berapa jumlah pekerja yang akan diambil semula oleh majikan baharu," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung kebajikan pekerja yang hilang pekerjaan seperti yang berlaku di beberapa syarikat media
Beliau berkata setakat ini 483 bekas pekerja Utusan Melayu dan 39 kakitangan Karangkraf menerima manfaat SIP selepas hilang mata pencarian.
Seramai 109,102 orang menerima faedah penuh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2019 melibatkan jumlah bayaran RM59.84 juta melibatkan jumlah caruman terkumpul SIP adalah RM426.32 juta.