Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang membuat bayaran tol secara elektronik bakal menikmati diskaun sebanyak 10 peratus bersempena Aidilfitri.

Pengarah ANIH Berhad, pemegang konsesi KLK dan LPT2, Nik Fauzi Nik Hussein berkata diskaun itu ditawarkan selama 24 jam bermula 6 Julai 2016 (12 malam Rabu).

"Diskaun ini sebahagian komitmen tanggungjawab sosial ANIH Berhad kepada pengguna KLK dan LPT1 selain sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang sentiasa menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Fauzi berkata sebanyak 264,258 kenderaan dijangka menggunakan KLK dan LPT1 pada waktu puncak iaitu pada 1 hingga 3 Julai dan 8 hingga 10 Julai.

"Ia merupakan peningkatan sebanyak 87 peratus berbanding hari-hari biasa iaitu sebanyak 141,000 kenderaan sehari," katanya.