Sukan tentunya menjadi salah satu faktor bagi menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan warga Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan prototaip ‘Footbraille’, yang dapat membantu komuniti orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menikmati perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung.

Ketua Digital IT Digi, Anwar Ishak berkata ‘Footbraille’ ini dibangunkan dalam tempoh empat bulan dan mengambil inspirasi daripada perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 di mana pasukan negara menang 2-1.


“Apabila kami berjumpa dengan pemain Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM), kami lihat bagaimana mereka bermain bola sepak dan bagaimana mereka menikmati permainan tersebut.

“Jurulatih mereka menceritakan dan menunjukkan kepada kami bagaimana pemain ini menonton perlawanan bola sepak, iaitu dengan memegang tangan mereka dan menjejaki pergerakan bola di tapak tangan mereka.

“Menerusi cerita tersebut, kami mendapat inspirasi untuk meningkatkan pengalaman tersebut menerusi teknologi kerana seorang jurulatih hanya boleh menerangkan perlawanan tersebut kepada seorang pemain. Bagaimana pula dalam situasi di mana terdapat ramai pemain pada satu masa?” kata Anwar.

Footbraille merupakan meja sesentuh yang dihubungkan tanpa wayar kepada sebuah peranti yang mengandungi perisian khas.

Prototaip tersebut membolehkan penggunanya menjejak pergerakan bola serta memberi respons sentuhan kepada sepanjang perlawanan berlangsung.

Tambahnya, menerusi penggunaan teknologi yang inovatif dan inklusif, Digi dapat menghubungkan insan yang berkelainan upaya dengan sesuatu yang amat bermakna buat diri mereka, iaitu minat terhadap bola sepak.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee pula memaklumkan projek tersebut bukannya suatu tugasan yang mudah.

Bagaimanapun, Bernard berasa bangga kerana inisiatif oleh Digi ini dapat memastikan tiada insan diabaikan dan sememangnya merupakan satu usaha yang bermakna.

“Langkah seterusnya adalah untuk menguji prototaip ini pada satu perlawanan besar. Sebelum ini, kami sudah melakukan ujian pada satu perlawanan futsal dan kali ini kami ingin lakukan perkara yang sama pada perlawanan lain.

“Mungkin kami boleh melakukannya pada perlawanan di peringkat kebangsaan.

"Seterusnya kami ingin mengenal pasti jika alat ini boleh digunakan untuk tujuan latihan. Kami akan bekerjasama dengan pelbagai pasukan.

“Selepas itu kami akan lihat jika alat ini boleh digunakan untuk sukan lain seperti hoki dan sebagainya,” ujar Bernard.