TULAR di media sosial berkaitan kejadian letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, Johor yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.25 pagi ini.

Petronas kemudiannya dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan menegaskan bahawa situasi adalah dalam keadaan terkawal.

Insiden letupan itu dipercayai turut menyebabkan gegaran yang dirasai sehingga ke Pasir Gudang dan menyebabkan 2 orang pekerja tercedera, telah menimbulkan keresahan penduduk setempat selain menimbulkan persoalan apakah operasi RAPID selamat?

Kenyataan media Petronas mengesahka kejadian letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Johor.

Untuk pengetahuan semua, pembinaan sesebuah premis yang berisiko untuk menyebabkan bahaya kemalangan industri yang besar bukanlah semudah membuka premis perniagaan biasa. Apatah lagi apabila premis tersebut melibatkan saiz industri berskala besar seperti RAPID.

Semua premis seperti ini perlu memenuhi segala ketetapan yang termaktub undang-undang sedia ada sebelum dibenarkan beroperasi. Sebagai contohnya, Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian) 1996.

Antara tanggungjawab majikan sepertimana yang disebut dalam Peraturan 10 - Demostrasi Operasi Selamat ialah mengenal pasti kemungkinan bahaya kemalangan besar dan mengambil langkah yang mencukupi untuk mencegah apa-apa kemalangan besar atau mengurangkan akibatnya kepada orang dan alam sekitar.

Majikan juga wajib memberikan maklumat, latihan dan peralatan yang diperlukan kepada orang yang bekerja di tapak untuk memastikan keselamatan mereka, selain menyediakan dan mengemas kini suatu pelan kecemasan tapak yang mencukupi yang memperincikan cara kemalangan besar boleh ditangani.

Undang-undang yang mewajibkan mana-mana premis yang boleh mendatangkan kemalangan besar dalam perindustrian mengambil segala langkah yang perlu untuk menanganinya.

Berbalik kepada persoalan apakah operasi di RAPID ini selamat?

Saya percaya bahawa kompleks tersebut telah dibina mengikut spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan dan segala bentuk langkah kawalan sepertimana yang termaktub dalam peraturan telah diambil oleh pihak RAPID dalam memastikan operasi mereka adalah selamat.

Atas sebab itulah kita dapat menyaksikan bahawa kejadian letupan dan kebakaran yang berlaku awal pagi ini dapat ditangani oleh mereka sendiri dalam tempoh 30 minit iaitu dengan mengaktifkan Pasukan Tindakan Kecemasan (Emergency Respon Team - ERT) Petronas RAPID Pengerang yang melibatkan lima kenderaan Bomba dengan kekuatan 30 anggota.

Latihan kesiapsiagaan dalam menghadapi kesemasan dan kemalangan industri perlu dilaksanakan sepertimana yang diwajibkan kepada majikan dan termaktub dalam undang-undang.

Malahan situasi semasa di lokasi kejadian juga difahamkan terkawal dengan pihak pengurusan Petronas sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian. Dan saya percaya, yang lebih penting dari itu ialah mereka sedang berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Oleh itu, berikan ruang kepada pihak bertanggungjawab utk melaksanakan tugas mereka dalam menangani perkara tersebut dengan berkesan.