Wang kertas negara bebas daripada lemak haiwan dan tidak mengandungi unsur lemak khinzir, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

"Wang RM1 dan RM5 ini guna polimer sebab ia lebih tahan empat kali ganda berbanding wang kertas biasa. Wang kertas tidak mengandungi mana-mana unsur lemak khinzir seperti yang didakwa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Senator Sabani Mat pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 di Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mendapat laporan terperinci daripada makmal bebas yang mengesahkan tiada sebarang unsur lemak haiwan dalam wang polimer.

Amiruddin berkata perkara tersebut juga telah dirujuk kepada Majlis Penasihat Syariah BNM yang bersetuju dengan penilaian bahawa wang polimer bebas daripada unsur lemak haiwan dan boleh digunakan tanpa was-was.

Dewan Negara kemudian meluluskan RUU berkenaan.

Selain itu, turut diluluskan enam lagi RUU di bawah Kementerian Kewangan iaitu RUU Kewangan 2019; RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2019; RUU Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2019; RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2019; RUU Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (Pindaan) 2019.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata RUU Kewangan 2019 bertujuan meminda antaranya Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949 dan Akta Kewangan 2018.

"Bagi melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai, ia memerlukan pindaan akta-akta berkaitan," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA