Kes demam denggi di Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 140 kes kepada 1,044 kes pada tahun ini sehingga Minggu Epid (ME) ke-23 iaitu sehingga 6 Jun lalu berbanding 904 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 695 kes dilaporkan berlaku di daerah Melaka Tengah, Jasin (188 kes) dan Alor Gajah (161 kes).

Beliau berkata pada ME ke-23 sahaja, sebanyak 33 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah, Jasin (21 kes) dan Alor Gajah (14 kes) sekali gus mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Sebanyak lima kematian akibat demam denggi dicatatkan pada tahun ini iaitu satu kes di Melaka Tengah manakala masing-masing dua kes di Alor Gajah dan Jasin. Selain itu, sebanyak enam lokasi panas wabak denggi dikenal pasti iaitu dua di Melaka Tengah, Alor Gajah (satu) dan Jasin (tiga).

"Kita memandang serius peningkatan kes demam denggi di negeri ini dan usaha secara lebih efektif akan dilaksanakan, termasuk program pembersihan, kerana kita melihat banyak tin kosong dibuang merata-rata sehingga ia menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi panas wabak denggi di Kampung Pulau di sini pada Khamis.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 10 lokaliti wabak dilaporkan masih aktif iaitu masing-masing dua kawasan di daerah Alor Gajah dan Jasin manakala selebihnya di Melaka Tengah.

Katanya aspek kebersihan penting dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes bukan sahaja di kawasan atau dalam rumah tetapi juga di sekeliling kawasan perumahan.

-- BERNAMA