DEMI maruah bola sepak negara, kumpulan penyokong setia skuad bola sepak kebangsaan, 'ekor' Harimau Malaya sanggup tidur di atas lantai sebuah bas.

Sekeping gambar tular di media sosial memaparkan beberapa penyokong bola sepak kebangsaan sedang tidur dan berselimut di atas lantai bas ketika menuju ke lokasi perlawanan di Negara Gajah Putih itu.

Gambar tersebut dimuat naik ke akaun rasmi penyokong bola sepak Selangor @ultraSel_SA dengan kapsyen “You’ll never understand until you’re one of us, Good Morning from Thailand."


Perjalanan menaiki bas ke Rajamangala itu merupakan usaha penyokong fanatik pasukan bola sepak kebangsaan dan kesemua 18 buah bas telah dipenuhi oleh mereka.



Kelebihan jaringan gol di tempat lawan membolehkan Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki meskipun terikat 2-2 pada Rabu malam.

Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam ataupun Filipina di final nanti, namun ia bergantung kepada pasukan mana yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir pada Khamis.