Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengesahkan telah mengenakan penalti sebanyak RM2 juta ke atas firma audit terbesar dunia, Deloitte PLT (Deloitte) di atas empat pelanggaran berkaitan dengan Program Sukuk Murabahah.

Program yang bernilai RM2.4 billion itu diterbitkan pada tahun 2014 oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) yang diaudit oleh Deloitte sebagai juruaudit berkanun.

Dalam kenyataan media pada Rabu, SC berkata, Deloitte didapati telah melakukan dua pelanggaran di bawah Seksyen 276(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana gagal untuk segera melaporkan kepada SC mengenai penyelewengan yang mungkin menjejaskan kebolehan BMSB untuk membayar balik pemegang sukuk amaun tertentu di bawah program tersebut.

Tambah SC, Deloitte merupakan juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) untuk tahun kewangan mereka yang berakhir pada 31 Mac 2015 hingga 2016.

1MDB RE yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd antara salah satu pihak ketiga yang menyediakan keselamatan bagi Program Sukuk Murabahah serta syarikat induk terdekat BMSB.

1Malaysian Development Berhad (1MDB) merupakan syarikat induk 1MDB RE dan BMSB.

Kesalahan lain yang disabitkan termasuk pelanggaran bawah Seksyen 276(1) bawah CMSA, di mana Deloitte disaman RM200,000 atas kegagalan untuk menghantar salinan Penyata Kewangan Diaudit (AFS) pihak BMSB untuk tahun 2015 dan 2016 kepada MTrustee Berhad dalam 7 hari selepas ia diauditkan.

Saman RM2 juta itu merupakan nilai tertinggi yang boleh dikenakan bawah Seksyen 276(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.