Deklarasi Putrajaya akan mencatatkan kemajuan penting bagi negara-negara Asia dan Pasifik yang berganding bahu dalam usaha gigih untuk mencapai pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti seperti termaktub dalam sasaran 4.2 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

Inilah yang disuarakan oleh Penolong Ketua Pengarah bagi Pendidikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Qian Tang, menyampaikan ucapan alu-aluan pada Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Asia Pasifik (ECCE) 2016 di sini pada Selasa.

Sasaran SDG 4.2 menyatakan "menjelang 2030 semua kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai akses kepada pembangunan awal kanak-kanak, asuhan dan pendidikan pra rendah yang berkualiti supaya mereka bersedia untuk pendidikan rendah."

Qian berkata ECCE membolehkan kanak-kanak memulakan perjalanan sepanjang hayat untuk pembelajaran dan pembangunan dengan minda dan tubuh badan yang sihat, kemahiran dan keyakinan yang lebih baik.

"Ia adalah hak setiap kanak-kanak," katanya sambil menambah bahawa ECCE memanfaatkan masyarakat secara meluas dan berfungsi sebagai pelaburan sosial dan ekonomi yang menguntungkan.

ECCE menyumbang kepada pendidikan lebih baik, kesaksamaan gender, perpaduan sosial, masyarakat yang demokratik dan aman, meningkatkan kebolehpasaran dan memperolehi prospek, kata beliau.

"Berdasarkan bukti kukuh penyelidikan meliput neurosains, ekonomi dan sains sosial, asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak adalah asas bagi mewujudkan keamanan dan pembangunan lestari," kata Qian.

Sebanyak 1,000 peserta dari 39 negara Asia Pasifik menghadiri forum selama tiga hari itu bermula Selasa dengan agenda untuk memperkasakan asas dasar ECCE di rantau Asia Pasifik.

Bertemakan "The Transformative Power of Early Childhood: Innovations for Inclusivity and Quality", forum itu dijangka mengumumkan Deklarasi Putrajaya pada Khamis.