Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji kesesuaian sistem saliran sedia ada dan membuat penambahbaikan bagi mengelak kejadian banjir kilat pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata ini berikutan hujan lebat selama dua jam semalam di ibu negara mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Jalan Pudu mengalami banjir kilat.

Bagi membantu warga Kuala Lumpur menghadapi kemungkinan banjir kilat, DBKL akan menempatkan 59 anggota Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan di semua lokasi hotspot banjir di sekitar ibu negara, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ia bertujuan untuk membantu kawalan lalu lintas dan membuat penutupan serta lencongan jalan sekiranya perlu bagi mengelakkan pengguna jalan raya melalui kawasan banjir.

Menurutnya tujuh trak tunda dan 12 anggota skuad penyelamat DBKL juga akan bersiap siaga 24 jam bagi mengawal keadaan.

"Banjir kilat ini berpunca daripada taburan hujan yang tinggi sebanyak 106.5 milimeter iaitu tiga kali ganda berbanding taburan hujan biasa, yang merupakan taburan hujan tertinggi bagi tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sauffi berkata DBKL sedang membuat pemeriksaan dan pembersihan keseluruhan sistem saliran di kawasan banjir serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti akan terbabit dengan bencana alam itu.

Tambah beliau, bilik gerakan bantuan bencana DBKL beroperasi 24 jam bagi memantau dan menyelaras tugas-tugas bantuan bencana banjir.

Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan bantuan ini di talian hotline 03-402 44244 atau 03-402 67222 dan 019-212 0031.