Lelaki yang dipercayai dalang utama kes pembunuhan kejam seorang lelaki di Taman Pelangi di sini, akhir tahun lepas, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamaluddin Kassim berkata reman bermula 6 Julai hingga Khamis ini (12 Julai) itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi di sini, Hafizah Johor Arif Johor.

Ia bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya ketika dihubungi.

Suspek berusia dalam lingkungan 40 tahun itu ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada penghujung Mei lepas sebelum diekstradisikan ke Malaysia dan tiba di negeri ini pada petang Khamis lalu (5 Julai) selepas melarikan diri daripada pihak polis Johor susulan kejadian.

Empat hari sebelum itu (1 Julai), dua suspek yang turut terlibat dalam kes berkenaan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berumur 54 dan 58 tahun adalah anggota kumpulan jenayah terancang 'Jin Jee Tong' dan dituduh mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

BACA: Kejadian langgar dan bunuh di Taman Pelangi ada kaitan kongsi gelap

BACA: Suspek kes pembunuhan di Taman Pelangi dikesan lari ke Thailand


Dalam kejadian pada 17 Dis 2017 itu, mangsa berusia 44 tahun mati selepas ditikam serta dilanggar dan digilis sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an, dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka, sehingga berlakunya pergelutan.

-- BERNAMA