Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, bertindak menyerbu sebuah pejabat anak syarikat sebuah universiti awam terkemuka di utara tanah air pada Khamis.

Menurut sumber, serbuan terbabit mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pembelian dan peruntukan tambahan aset yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta oleh anak syarikat tersebut.

Jelasnya, aset yang dibeli di Lembah Klang sekitar tahun 2017 itu kini tidak lagi dapat berfungsi dan beroperasi seperti biasa.

"Pembelian aset dan kos beberapa peruntukan tambahan lain yang dianggarkan lebih RM50 juta itu juga didakwa tidak dirujuk dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

"Suspek merupakan beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahsuaian aset-aset yang dibeli," jelas sumber.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit dan menjelaskan pihaknya ketika ini sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyatakan bahawa kes akan disiasat mengikut Seksyen 17a, Seksyen 18, dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.