Berita Mufti Kelantan, Datuk Seri Mohamad Shukri Mohamad kritikal adalah tidak benar!

Pihak keluarga Mufti Kelantan menafikan berita yang sedang viral di media sosial mengatakan Mohamad Shukri kritikal akibat jangkitan COVID-19.

Salah seorang anaknya yang enggan dikenali berkata, sehingga kini ayahnya masih belum disahkan dijangkiti COVID-19.

Katanya, orang ramai diminta berhenti sebarkan berita tidak benar kerana ayahnya kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

"Ayah dikatakan mengalami demam dan sakit tekak selepas pulang dari Sarawak pada Khamis lalu dan membuat pemeriksaan di klinik Ahad lalu sebelum diberikan cuti sakit.

“Ayah dirujuk ke hospital semalam selepas demamnya tidak baik. Keadaan ayah stabil dan kini berada di Wad 10 dan bukannya dirawat Unit Rawatan Rapi seperti yang tular di media sosial.

“Saya meminta sahabat semua jangan sebarkan berita yang tidak pasti sebab ayah masih normal serta stabil di Wad 10 HRPZ II,” katanya.

Anak lelakinya juga minta rakyat Kelantan dan Malaysia mendoakan kesihatan ayahnya serta dijauhi wabak serta bala.

“Saya minta semua untuk menunaikan solat hajat dan doakan untuk ayah saya Datuk Mufti Kelantan dan seluruh keluarga kami berada dalam aman dan sejahtera.

“Terima kasih kepada yang mendoakan kebaikan kepada keluarga kami dan rakyat Malaysia semua,” katanya.

Hari ini, kecoh di media sosial apabila ada yang mendakwa Mufti Kelantan disahkan positif COVID-19 dan berada dalam keadaan kritikal dirawat di HRPZ II.