CyberSecurity Malaysia (CSM) sudah menerima rakaman video seks yang dikaitkan dengan individu mirip seorang menteri untuk dilakukan analisis teknikal, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Amirudin Abdul Wahab.

Amirudin berkata analisis yang dilakukan agensi tersebut adalah untuk mengenal pasti ketulenan video aksi intim tersebut dengan menggunakan kaedah forensik.

Namun, Amirudin enggan mengulas lanjut sama ada CSM diminta menganalisis video itu atau mengesan penyebarnya.

"Saya tidak boleh komen itu kes polis, saya cuma kata kami sebagai agensi teknikal sentiasa bersedia untuk memberi bantuan teknikal.

"Dan kita ada terima permintaan dan kita akan bantulah dan itu saja saya tak mahu komen lebih," katanya kepada wartawan selepas perasmian Persidangan Pertahanan Siber IACSP pada Selasa.

Minggu lalu, tiga video aksi intim yang dikaitkan dengan seorang menteri tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, agensi itu mampu menjalankan ujian tersebut dengan kepakarannya di Makmal Forensik Digital CyberSecurity Malaysia.