Cyberjaya berhasrat untuk menjadi bandar tanpa tunai pertama melalui penggunaan e-dompet TaPay (Take Action Pay) yang dibangunkan buat kali pertama di negara ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sebagai permulaan, projek perintis ini akan dijalankan dengan peruncit dan restoran terpilih dalam tempoh sebulan, sebelum diperluaskan ke Lembah Klang, seluruh negara dan kemudian merentasi negara-negara ASEAN.

Menurut beliau, TaPay yang memberi keutamaan kepada penggunaan masyarakat, sedang dikemas kini dan diperkukuhkan melalui penglibatan secara langsung dan input berterusan daripada 100,000 perniagaan, penduduk, institusi pendidikan termasuk pelajar di Cyberjaya.

"Saya berharap inisiatif ini memberi hasil dengan lebih banyak peruncit dan restoran di Cyberjaya menyertainya. Menjelang 2020, kami berharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap transaksi tunai atau kepada 63 peratur daripada jumlah urus niaga dan meningkatkan bilangan urus niaga e-pembayaran per kapita kepada 200 transaksi.

"Ini merupakan perubahan pemikiran yang kerajaan mahu wujudkan dalam kalangan rakyat dan perniagaan untuk kekal relevan dalam kalangan negara membangun serta setara dengan dompet mudah alih China, Alipay yang akan menjadi satu lagi opsyen pembayaran di negara ini menjelang tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan TaPay yang merupakan usaha sama antara Fullrich Malaysia Sdn Bhd, Cyberview Sdn Bhd dan Affin Bank Group di sini hari ini.

Mohd Irwan yang juga merupakan pengerusi Cyberview berkata matlamat masyarakat tanpa tunai ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia untuk meningkatkan inisiatif ekonomi digital negara yang bakal menjadi sumber baharu pertumbuhan dalam keluaran dalam negara kasar.

"Kami memilih Cyberjaya sebagai perintis memandangkan bandar ini dilengkapi dengan infrastruktur dan ciri-ciri perbandaran yang selaras dengan pelan hala tuju bandar pintar. Melaluinya, kami akan mengurangkan unsur transaksi pembayaran fizikal (kad kredit dan debit) supaya ia akan menjadi lebih mudah untuk pengguna. Yang penting sekali, ianya adalah selamat untuk rakyat Malaysia.

"Kami mesti mendidik dan meyakinkan orang ramai untuk bertukar kepada e-dompet daripada tunai. Pada masa yang sama, Malaysia perlu mengekalkan daya saing, kepantasan dan kecekapan dalam ekosistem kewangan elektronik. Oleh yang demikian, saya menyeru CIMB, Maybank dan RHB untuk bekerjasama dengan Fullrich berkaitan dengan inisiatif tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata walaupun ia menjadi satu tugas yang sukar untuk berdiri setanding dengan Alibaba, adalah tidak mustahil bagi Malaysia untuk menguasai pasaran ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Thailand, melalui e-dompet TaPay.

Terdahulu, Mohd Irwan menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Fullrich dan Cyberview, termasuk empat memorandum persefahaman antara Fullrich dan rakan-rakan kongsi seperti Affin, Picksum (pasar e-fesyen tempatan), AladdinStreet (pasar e-dagang halal) dan myrelo (perniagaan penyimpanan dan pemindahan Malaysia). -- Bernama