Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) disaran mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung memberikan cuti bersalin (paterniti) sebulan untuk kaum bapa dengan bayaran gaji penuh.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, berkata, kerajaan sedia meneliti perkara berkenaan hanya selepas ia dikemukakan.

Menurut Ali, beliau tidak akan memberi respon segera mengenai cadangan berkenaan kerana sebarang keputusan memerlukan penelitian dan kajian.

"Itu saya 'postpone' dulu pasal apa saya pun tidak tahu, dan kita kena kaji lagi. Apa yang penting dalam perkhidmatan awam ini, kalau kita minta insentif perlu diganti dengan produktiviti yang lebih tinggi.

"Saya belum terima (cadangan), seperti yang saya lihat , kita perlu terima (cadangan terus MTUC dan Cuepacs)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam di Jalan Cochrane di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan MTUC dan Cuepacs yang mencadangkan kerajaan memberi cuti sebulan kepada kakitangan awam dan swasta dengan bayaran gaji penuh.

Pada masa sama, kedua-dua kesatuan itu mahu kerajaan mewujudkan polisi baharu berkenaan cuti bersalin untuk bapa atau meminda akta kerja 1955 bagi memasukkan terma berkenaan.

Ketika ini, cuti bersalin untuk bapa diberikan seminggu untuk kakitangan kerajaan, dan cuti ihsan antara dua ke tiga hari untuk kakitangan swasta.