Kerajaan akan mendapatkan kata sepakat isu cuti paterniti untuk pekerja swasta menerusi siri perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk majikan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan merupakan jalan terbaik walaupun kini isu itu mendapat bantahan majikan.

"Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan. Dari segi cuti bersalin ini, memang baik kalau dapat sebab kita akan datang sudah menjadi negara tua," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, pada Sabtu.

TONTON: Perkenal cuti paterniti 7 hari dalam sektor swasta - WAO

BACA:
Cuti paterniti buat pekerja swasta laksana tugas dengan lebih efektif, tak jejas produktiviti

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan bantahannya dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Tegasnya, pemberian cuti wajib selama tiga hari itu kerana isteri bersalin, memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Berdasarkan kajian, beliau mendakwa, majikan terpaksa menanggung kos lebih RM150 juta setahun sekiranya kerajaan tetap mahu memperkenalkan langkah itu dengan meminda Akta Kerja 1955.

Isu itu ditimbulkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.