Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan pindaan yang dilaksanakan kerajaan berkenaan cuti bersalin selama 90 hari yang disifatkan tidak mendapat konsensus daripada pihak-pihak yang berkaitan.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, isu yang timbul berkaitan penambahan cuti bersalin kepada 90 hari ini adalah disebabkan Kementerian Sumber Manusia tidak mengikut proses yang betul dalam melakukan suatu pindaan.

Dalam masa sama, Solomon menyambut baik penambahan cuti bersalin kepada 90 hari meskipun yang diusulkan oleh MTUC adalah sebanyak 98 hari.

“(Isunya) pihak kementerian sepatutnya mendapatkan persetujuan tripartit Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terlebih dahulu.

“Jika pindaan ini dilakukan secara teliti, sudah tentu kami akan mencadangkan pembaharuan yang lebih komprehensif dan juga holistik untuk kebaikan pekerja” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Solomon turut menegaskan, tindakan kementerian yang merujuk kepada Parlimen bagi mendapatkan kelulusan juga satu langkah yang tergesa-gesa ataupun satu tindakan yang melulu.

“Ini adalah satu perbuatan yang kurang sihat kalau kita lihat kepada perundingan tripartit, kerajaan perlu mendapatkan kata putus daripada tiga pihak dahulu (sebelum melaksanakannya)," tambah beliau.

Sambil membuat perbandingan dengan syarikat di beberapa negara luar, Solomon menambah, terdapat syarikat swasta yang telah melaksanakan cuti bersalin 90 hari atau lebih daripada itu.

Kenyataan ini dibuat beliau susulan terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan pindaan yang dilaksanakan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.


Solomon turut berharap agar Dewan Negara dapat menyemak semula pindaan tersebut dengan pihak analisis dan membentangkan semula kepada sidang Parlimen secara holistik bagi memastikan pihak majikan tidak mempunyai sebarang bantahan.

“Walaupun perlu mendapatkan konsensus sebanyak 10 kali, saya merasakan itu tidak salah kerana dengan konsensus tersebut ia mampu membuatkan kita boleh menghormati satu sama lain dan semua pihak pasti akan menurut sahaja pindaan itu kerana semua telah diberikan mandat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Solomon menyifatkan pindaan yang diluluskan itu adalah secara diktator dan berharap pihak kerajaan dapat merujuk semula kepada analisis bagi perbincangan berkenaan pindaan untuk buruh di negara ini.

BACA: Cuti bersalin 90 hari mungkin rugikan pekerja dari segi perjawatan - Christy Ng

BACA:
Cuti bersalin 90 hari bebankan syarikat kecil - MEF