Akibat mencuri 62 aksesori pagar Istana Negara, dua lelaki warga Myanmar dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas Koma Ahmad Faizal Ahmad, 32, dan Muhfizullok Fozal Ahmad, 31, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula semalam di Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa mencuri aksesori kepunyaan Istana Negara di kawasan primeter pintu masuk 1 dan pintu masuk 3, Istana Negara, di sini, pada 11.30 pagi, 16 Julai lepas.

Koma Ahmad dan Muhfizullok didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman penjara maksimum dengan alasan ia melibatkan harta Istana Negara yang merupakan lambang kedaulatan negara.

-- BERNAMA