Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 5.45 pagi tadi, dua mangsa berkenaan maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mahidin Hamat, 57 tahun, dan rakannya Mohd Adzlan Mohd, 32 tahun.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki lelaki berusia 27 tahun dari arah Pasir Mas menghala Kota Bharu memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kereta tersebut berlanggar secara berhadapan dengan kenderaan yang dinaiki mangsa.

Manakala, pemandu Honda Civic cedera parah dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Ismail memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.