Misi penjelajah tunggal negara, Shahrom Abdullah dalam Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan tertangguh selama lima hari berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di Union Glacier, Antartika.

Menurut penasihat ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, penerbangan Shahrom, 36, dari Union Glacier ke Messner Inlet dibatalkan pada tiga hari lepas dan sedang menunggu jadual penerbangan baharu.

Penerbangan khas dari Union Glacier ke Messner Inlet menggunakan pesawat jenis Ilyushin mengambil masa selama lebih empat jam dengan jarak 2,985 kilometer.

"Kita menjangkakan dalam sehari dua lagi cuaca akan kembali baik dan Shahrom akan meneruskan penerbangan khas itu ke Messner Inlet, sekali gus membolehkan beliau bersiap sedia untuk memulakan misi ekspedisinya," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Jumaat.

Mengikut jadual asal katanya, Shahrom sepatutnya berlepas ke Messner Inlet pada 23 Nov lepas bagi memulakan ekspedisinya merentas Kutub Selatan menggunakan ski sejauh 1,000 kilometer ke titik kosong darjah.

Sementara itu, Presiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin yang juga pengelola ekspedisi berkata masalah penerbangan tertangguh akibat cuaca merupakan perkara biasa yang sering berlaku di Union Glacier.