Pengusaha perniagaan kecil dan sederhana perlu melengkapkan diri dengan kemahiran media sosial yang kreatif bagi membantu mereka melonjakkan pendapatan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru.

Ini kerana, memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi yang berkesan berkemungkinan tidak mampu memberi impak seperti yang diinginkan, apatah lagi ketika hampir semua jenis perniagaan kini beralih ke platform digital.

"Apa yang sangat diperlukan usahawan ialah akses bagi mereka meningkatkan pendapatan dalam kadar segera dan akses pasaran bagi produk mereka. Walaubagaimanapun, mereka terlebih dahulu perlu diberi latihan seperti aspek pemasaran baharu dan kemahiran teknologi.

"Mereka juga perlu diberi pemahaman pengisian media kreatif. Berdasarkan pengalaman, ada usahawan di luar bandar yang memperolehi pendapatan ratusan ribu ringgit kerana mereka menggunakan kaedah-kaedah kreatif, iaitu kombinasi media sosial dan media arus perdana," kata Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek.

Dia ditemui pada sesi Kursus Keusahawanan Pasca PKP COVID-19 di bawah Program Pembangunan Ekonomi Sejahtera Rukun Tetangga (PESAT), hari ini.

"PESAT akan mengenal pasti usahawan di kawasan masing-masing. Selepas itu mereka akan jalani kursus dan kenal pasti potensi produk yang mereka ada.

"Contohnya jika produk itu perlu ada penambahbaikan seperti pembungkusan atau pensijilan tertentu, jadi pihak iGROW akan membantu dengan cara membawa produk mereka ke agensi terbabit untuk dinaik taraf," kata Datuk Seri Izwan Shah Arif Shah, yang hadir ke program itu mewakili Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar.

Bagi peserta, penganjuran kursus sedemikian sangat dialu-alukan dan dilihat sebagai pemangkin semangat selain membantu mereka mengasah kemahiran serta menambah ilmu pengetahuan.

"Saya akui kurang pengalaman dan pengetahuan berkaitan internet dan media sosial, jadi saya gembira kerana peserta kursus PESAT ini juga diberi latihan berkaitan," kata Ziton Ismail yang mengusahakan perusahaan urutan tradisional.

"Saya mahu tambah ilmu pengetahuan di sini. Walaupun ada yang kata, orang muda ada kelebihan apabila buat bisnes, pada saya itu tidak benar.

"Sebagai orang muda, banyak yang saya tidak tahu. Di sini bukan sahaja saya dapat ilmu tetapi juga berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah berjaya menjalankan perniagaan," kata Wan Suhaire Wan Yusri pula, yang baru dua tahun memulakan perniagaan dalam bidang pendawaian.

Kursus berkenaan dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPIN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Institut Agro Usahawan (iGrow) dan Storytelling Advertising Strategy (ISTAR).

Dihadiri 30 peserta, ia mensasarkan untuk memberi latihan dan motivasi kepada usahawan kecil dan sederhana yang terkesan sepanjang pelaksanaan PKP sebelum ini.