Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memutuskan untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 yang dijadual berlangsung mulai 24 Mac hingga 16 April depan, di semua kampus seluruh negara.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira laporan penularan wabak COVID-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

"Susulan pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengurusan eksekutif UiTM dalam satu mesyuarat khas hari ini memutuskan untuk menangguhkan istiadat konvokesyen berkuat kuasa serta merta sehingga ke suatu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Pengurusan UiTM perlu mengambil tindakan pencegahan yang proaktif demi kesihatan serta keselamatan seluruh warga universiti dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Pada masa sama, Mohd Azraai turut menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam isu penangguhan istiadat konvokesyen itu.

-- BERNAMA