Thailand pada Jumaat mencatat 91 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan satu kematian membabitkan seorang lelaki yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 1,136 kes dengan lima kematian.

Pegawai Daerah Sungai Kolok, Preecha Nuannoi, berkata lelaki berusia 50 tahun itu adalah antara 132 rakyat Thailand yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur bulan lepas.

"Keadaan kesihatannya merosot semalam. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Kolok, Narathiwat pada 3 pagi (waktu tempatan) hari ini (Jumaat)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata ahli keluarga mangsa telah diuji negatif bagi COVID-19

Kes itu adalah kematian pertama di Thailand yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Malaysia.

Setakat ini, sejumlah 97 pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 1,034 masih dirawat termasuk 11 yang berada dalam keadaan kritikal.

Pakar kanan dalam Perubatan Pencegahan di Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Anupong Sujariyakul berkata 30 kes baharu mempunyai kaitan dengan jangkitan sebelum ini manakala 19 kes membabitkan mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara, bertugas di tempat yang sesak dan mempunyai kontak rapat dengan warga asing.

Beliau berkata 42 kes baharu adalah dari kluster yang tidak diketahui dan pihak berkuasa sedang menyiasat sumber jangkitan.

"Setakat ini, COVID-19 merebak ke 52 dari 77 wilayah di negara ini dengan 88.32 peratus adalah rakyat Thailand manakala 11.68 peratus adalah warga asing," katanya.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Suphakit Sirilak menggesa orang ramai agar mematuhi arahan jarakan sosial dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata jika hanya 50 peratus rakyat Thailand mematuhi arahan melakukan jarakan sosial sejauh semeter, jumlah kes dijangka meningkat kepada 17,635 menjelang 15 April.

"Jika kebanyakan rakyat tidak mengendahkan rayuan bagi melakukan jarakan sosial, akan terdapat sejumlah 25,253 kes dan jika 80 peratus memberikan kerjasama, jumlah kes ialah sebanyak 7,745 kes menjelang 15 April," katanya.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah mengarahkan agar lebih banyak venue awam di bawah bidang kuasanya ditutup sehingga 30 April.

Jurucakap BMA Kapten Polis Pongsakorn Kwanmuang berkata dewan bankuet dan venue persidangan, pusat snuker serta klinik kecantikan akan ditutup mulai esok bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata semua nurseri kecuali yang terletak di hospital akan ditutup mulai 31 Mac.

"Penutupan institusi pendidikan, pusat hiburan, venue sukan dan pusat membeli-belah akan dilanjut (dari 12 April) sehingga 30 April selaras dengan tempoh perintah darurat," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kawasan makan di hospital, kedai bunga di pasar dan agensi kerajaan di pusat membeli-belah masih dibuka.

-- BERNAMA