Kerajaan Singapura akan membantu pekerja yang terpaksa diberhentikan termasuk rakyat Malaysia, selepas perniagaan majikan mereka terjejas teruk oleh COVID-19, menurut Kementerian Tenaga Kerja (MOM).

Menterinya, Josephine Teo berkata, kementeriannya boleh membantu menghubungkan pekerja yang terjejas dengan bakal majikan yang ingin mengisi kekosongan dan sedang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Teo ketika bercakap pada satu sidang akhbar oleh Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19, berkata, pengaturan telah dibuat sekiranya pekerja-pekerja ini memilih untuk tinggal di Singapura dan sedang mencari majikan baharu.

Beliau turut menambah, ada sesetengah pekerja Malaysia yang terjejas dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia telah memutuskan untuk meninggalkan Singapura.

Kementerian itu sebelum ini pernah memberitahu, PKP telah memberi impak bukan sahaja kepada pemegang pas kerja Malaysia tetapi juga warga Singapura serta penduduk tetap yang pulang setiap hari dari Malaysia.

"Ada beberapa pekerja ini yang mula rindu rumah masing-masing atau mempunyai alasan lain untuk menyertai semula keluarga mereka di Malaysia," kata menteri itu.

Teo menyatakan bahawa sesetengah daripada mereka berhasrat untuk kembali bekerja ke Singapura selepas semuanya kembali normal.

"Kami telah berbincang dengan majikan mereka untuk melaksanakan cuti tanpa gaji untuk mereka. Pengaturan ini sedang berjalan.

"Jika masih ada keperluan untuk Notis Tinggal Di Rumah" (SHN), mereka juga perlu memikirkan keadaan tersebut bagi pekerja mereka," katanya.

SHN memerlukan seseorang untuk tinggal di tempat kediaman mereka sepanjang tempoh 14 hari.

Malaysia pada 25 Mac lepas telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April berbanding 31 Mac untuk membendung penyebaran COVID-19 . - BERNAMA