Seramai 225 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Bangladesh selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini.

Mereka tiba KLIA pada jam 5:46 pagi melalui penerbangan sewa khas Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dibiayai sepenuhnya oleh MIC.

Mereka yang dibawa pulang terdiri daripada 130 orang pelajar, 55 orang pegawai dari Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, 35 orang ekspatriat dan 5 orang tanggungan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar, menerusi satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Luar telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dan Parti Kongres India Malaysia (MIC) untuk membawa pulang rakyat Malaysia terbabit.

“Kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang ini telah menjalani proses saringan kesihatan di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi sesi sidang akhbar secara langsung di laman Facebook pada 24 Mac lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri S.A Vigneswaren, Presiden MIC yang telah terlibat dalam membantu memudahkan proses pemulangan rakyat Malaysia yang terkandas di Bangladesh.

Tambahnya lagi, MIC sebelum ini telah membiayai kos enam penerbangan bagi membawa pulang seramai 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Thiruchirappali di India melalui penerbangan Air Asia.