Kerajaan akan memastikan kesemua pakej rangsangan ekonomi dan perbelanjaan yang dilakukan bagi menangani impak COVID-19, adalah dilaksanakan dengan telus, dan berlandaskan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Atas sebab itu, beliau berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan sewaktu Parlimen bersidang pada Jun ini, untuk semua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan.

“Kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN), hari ini, dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion.

Ia merupakan tambahan kepada dana RM4.5 bilion khusus untuk PKS dan PKS mikro yang diumumkan beliau pada 27 Mac lepas.

Sebagai rekod, termasuk PRIHATIN TAMBAHAN, sebanyak tiga pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara, iaitu RM20 bilion oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb, dan RM250 bilion oleh Muhyiddin pada 27 Mac lepas.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang seperti penasihat DAP Lim Kit Siang, dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar segala perbelanjaan kerajaan perlu dibahas dan mendapat kelulusan Parlimen dahulu.

Ini termasuk dengan suntikan dana tambahan, dan ia adalah selaras dengan Perkara 101, 102, dan 103 yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Unit LAKSANA di bawah Jabatan Perdana Menteri akan memastikan semua inisiatif PRIHATIN dan PRIHATIN TAMBAHAN dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

“Unit ini akan sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan pelaksanaan semua inisiatif kepada Menteri Kewangan dan saya.

“Untuk menyokong penyampaian inisiatif PRIHATIN, portal IMSME.COM.MY yang dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk menerima permohonan pinjaman PKS yang telah saya umumkan tadi,” kata Perdana Menteri.

Selain daripada memohon pinjaman terus daripada institusi perbankan, beliau berkata, PKS juga mempunyai pilihan untuk membuat permohonan pinjaman melalui portal IMSMEyang turut menyediakan khidmat myKNP, iaitu khidmat nasihat pembiayaan untuk pengusaha sektor berkenaan.