Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula esok sehingga 26 Mac, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Zukifli berkata keputusan penangguhan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang semalam di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya jawatankuasa masjid dan surau membuat operasi pembersihan dan pembasmian kuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.

Dr Zulkifli berkata, sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah perlu dilaksanakan mengikut keputusan fatwa yang telah ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 2015.

“Pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum 'Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia'.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah,” katanya.

Jelasnya, jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut.

Beliau, bagaimanapun, berkata pelaksanaan itu bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

.