Satu kluster baharu direkodkan di Sarawak yang dikenali sebagai kluster PUI Australia selepas dua kes positif dikesan melibatkan kluster tersebut.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis, kluster itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, kes ke-587 ini melibatkan seorang warga tempatan yang pulang dari Melbourne, Australia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 15 Julai 2020 dan meneruskan perjalanan ke Kuching.

"Saringan yang dilakukan ke atas kontak sebaik sahaja tiba di pusat kuarantin mendapati dia positif COVID-19 pada 17 Julai lalu.

“Justeru pengesanan kontak rapat dalam penerbangan dijalankan dan satu lagi kes positif melibatkan kes ke-624 dikesan selepas menaiki pesawat sama dari Kuala Lumpur ke Kuching pada tarikh sama,” ujar kenyataan itu.

Berikutan kewujudan kluster baharu itu, Sarawak merekodkan lapan kluster yang masih aktif.

Ia melibatkan kluster syarikat kejuruteraan dengan (3) kes, kluster Mambong (5), kluster pusat perubatan
(3), kluster Jupiter (3), kluster Pasar Stutong (7), kluster jeti Kuching (2), kluster Sentosa (8) dan kluster PUI Melbourne (2).