Kerajaan akan menaikkan peruntukan khas bagi Kementerian Kesihatan (KKM) dari RM500 juta yang diumum dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini, keapada RM1 bilion, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dana itu khusus untuk pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau sedar kakitangan kesihatan sedang bekerja bertungkus lumus malah berada dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan.

“Sebagai menghargai pengorbanan mereka, Kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir,” katanya lagi.

Bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, Perdana Menteri berkata, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta.

“(Dana ini untuk) menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

“Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini,” katanya lagi.