Ujian makmal COVID-19 yang dilaksanakan tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan berkemungkinan memberikan keputusan ralat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut berkata, saringan kadar positif dengan menggunakan kaedah ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) mendapati kadar positif COVID-19 di negara ini hanyalah pada kadar 0.96 peratus.

"Untuk RT-PCR, interprestasi yang salah (ralat) boleh berlaku sekiranya pihak makmal tidak mengikut prosedur seperti jika kita kesan satu gen sahaja, seeloknya ia tidak boleh dianggap positif.

"Ujian swab perlu diulang semula untuk kali kedua swab. Barulah kita boleh anggap ia sebagai positif. Setakat ini kita laksanakan di Kedah dan Sarawak, di mana 9,003 kes positif dikesan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Kevin Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) mengenai klasifikasi kes positif menggunakan ujian RT-PCR bagi mengelakkan tanggapan segelintir yang beranggapan kerajaan menyembunyikan data sebenar COVID-19.

Mengulas lanjut, Adham menjelaskan Kementerian Kesihatan turut menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen, dengan ketepatan mencukupi dan berupaya memberi keputusan dalam tempoh singkat.