Inisiatif pelaksanaan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini terpaksa ditunda tahun hadapan susulan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan terus memperkasakan guru-guru KAFA dengan menyerap mereka ke jawatan tetap dan akan terus dilaksanakan secara berfasa.

Katanuya, inisiatif menyerap jawatan guru-guru KAFA yang diusahakan kerajaan terdahulu itu sedang giat dijalankan pihaknya dengan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perkara-perkara ini akan sentiasa diperkemaskan dan dibuat secara berperingkat bagi memastikan hasrat penyerapan guru KAFA secara tetap dapat direalisasikan," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Fuziah Salleh (Kuantan-PKR) mengenai penyerapan guru-guru KAFA ke jawatan tetap.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, antara usaha keprihatinan itu termasuklah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100, menjadikan elaun mereka kini sebanyak RM1,000 sebulan.

Kenaikan elaun ini katanya, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM481 juta kepada 35,000 guru KAFA seperti diluluskan dalam Belanjawan 2020.

"Jumlah ini termasuk jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua guru," ujarnya.

Zulkifli turut menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama KPM menyediakan modul latihan serta melaksanakan latihan kompetensi kepada guru-guru KAFA.

Beliau berkata, guru KAFA juga perlu memenuhi kelayakan ikhtisas yang merupakan elemen penting bagi memenuhi syarat dan kelayakan yang ditentukan oleh JPA.